KEADAAN bilik sebuah rumah yang terbakar di Flat Medan Warisan, Kuantan. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN bilik sebuah rumah yang terbakar di Flat Medan Warisan, Kuantan. FOTO Ihsan Bomba.
Asrol Awang

Kuantan: Warga emas meninggal dunia selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di tingkat dua Flat Medan Warisan di sini, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian pada 3.15 petang itu, Ramle Mohamad, 64, yang menyewa rumah itu seorang diri, gagal keluar sebaik api marak.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 32 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

Katanya, operasi pemadaman dibantu dua jentera FRT dan dua jentera tangki air.

"Tindakan segera diambil dengan memecahkan pintu hadapan rumah untuk mencari dan menyelamatkan mangsa.

"Mangsa yang terperangkap disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan, dengan kesan melecur 40 peratus di badan dan muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu membabitkan bilik tidur dengan anggaran kemusnahan 80 peratus.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Mayat mangsa dibawa Ke forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 5:58 PM