GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, BKK itu turut diberikan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN); Speaker; Timbalan Speaker; Ahli Dewan Negeri; pengurusan tertinggi dan anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh kerajaan Persekutuan.

"Bagi menghargai usaha serta komitmen penjawat awam negeri yang tidak kenal erti penat lelah bersama-sama memakmurkan negeri, kerajaan Selangor bersetuju dengan cadangan pemberian BKK sempena Hari Raya Aidilfitri 1443H/2022 sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua anggota perkhidmatan kerajaan negeri.

"Pemberian BKK ini membabitkan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM39.15 juta yang akan dibayar pada 27 April ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju agar jumlah pembayaran BKK yang dinamakan Insentif Rahmah Ramadan Selangor sejumlah RM1,000 dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat iaitu Pengerusi MPKK; Pegawai Perhubungan Kampung Baru, Bagan, Tersusun, Ketua Komuniti India, Setiausaha MPKK dan Penyelia Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Katanya, bagi Penggerak Belia Selangor (PeBs) sebanyak RM500 peruntukan disediakan kepada mereka yang mana Insentif ini akan dibiayai oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga bersetuju agar Insentif Rahmah Ramadan Selangor sejumlah RM500 diberikan kepada penggerak masjid (Nazir, Imam, Siak dan Bilal) atas dedikasi pengimarahan institusi masjid sepanjang Ramadan ini.

"Peruntukan ini akan disalurkan melalui Inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 12:02 PM