Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. FOTO ARKIB NSTP
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. FOTO ARKIB NSTP
Oleh Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini, diteruskan bagi membahaskan Rang Undang-udang Perlembagaan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti pula hanya akan dibentang pada sidang khas lain.

Pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 pada 11 dan 12 April ini, membabitkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Rang Undang-undang berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.

Pada kenyataan bersama hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua pihak hari ini mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

"Antara perkara-perkara yang dipersetujui kedua-dua pihak adalah untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan penggubalan punca kuasa bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

"Draf awal akta itu akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk satu lagi sidang khas Parlimen diadakan untuk membentang, membahas dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat.

Satu lagi Sidang Khas Parlimen itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Kedua-dua pihak menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan Rang Undang-Undang ini mendapat majoriti dua pertiga dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan pembentangan rang undang-undang itu ditangguhkan sekali lagi selepas mesyuarat Kabinet semalam, mengkehendaki supaya kajian terperinci dijalankan terhadap definisi 'lompat parti'.

Wan Junaidi dilaporkan mengesahkan mengenai penangguhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 4:14 PM