PATI warga Indonesia yang diseludup masuk suami isteri warga tempatan, hari ini. FOTO Ihsan PGA.
PATI warga Indonesia yang diseludup masuk suami isteri warga tempatan, hari ini. FOTO Ihsan PGA.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Suami isteri warga tempatan disyaki dalang kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati), di sini dan mengenakan RM2,700 untuk setiap migran dari Indonesia yang mahu masuk secara haram.

Pasangan berusia 38 dan 47 tahun itu dipercayai sudah beroperasi secara aktif sejak tiga bulan lalu namun, kegiatan licik mereka terbongkar selepas ditahan bersama 10 Pati di tepi Jalan Tebing Kiri Sungai Sanglang, Pontian, pada 7.30 pagi hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya turut merampas dua telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah Perodua Alza dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM27,000.

"Pasukan bersama D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menahan dua warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter'.

"Seramai 10 lelaki dewasa warga negara asing berumur dalam lingkungan 17 hingga 57 tahun berjaya ditangkap, bersesak dalam Perodua Alza dan semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua warga tempatan adalah suami isteri yang mana lelaki tersebut bertindak sebagai 'transporter' dan wanita bertindak sebagai pembantunya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26(a) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1 )(c) Akta Imigresen.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat penyeludupan untuk menyalurkan ke talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 10:22 PM