GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seramai 72 penjawat awam sepanjang 2020 hingga Mac tahun ini.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, penjawat awam juga menjadi kumpulan yang tertinggi yang ditahan SPRM sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, ia diikuti 56 tangkapan membabitkan pekerja swasta manakala 46 orang awam bagi tempoh sama.

"Kami juga membuka 165 kertas siasatan berkaitan rasuah bagi tempoh berkenaan dan 83 pertuduhan di mahkamah.

"Ia termasuk 82 kertas siasatan dibuka pada 2020, 61 kertas siasatan pada tahun lalu dan 22 kertas siasatan pada tahun ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh sama, 44 tangkapan dilakukan pada 2020, diikuti 89 tangkapan pada tahun lalu manakala 41 tangkapan mulai awal tahun sehingga Mac lalu.

Katanya, SPRM Johor 784 maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa dalam tempoh sama.

"Pada 2020, sebanyak 405 maklumat diterima, diikuti 268 pada 2021 dan 111 pada tahun lalu.

"SPRM mencatat jumlah sitaan sejumlah RM3.4 juta bagi 2020 dan 2021 termasuk RM3.3 juta pada 2021 manakala RM134,000 pada 2020.

"Dalam tempoh sama, SPRM Johor melucut hak rampasan pesalah rasuah sejumlah RM210,701 termasuk RM181,048 pada 2020 dan RM29,653 pada tahun lalu," katanya.

Azmi berkata, selain menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah di negeri ini, SPRM Johor melaksanakan tindakan pencegahan rasuah dengan melaksanakan pemeriksaan atas amalan, sistem dan prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

Beliau berkata, pada 2020 dan 2021, SPRM Johor memberikan khidmat nasihat kepada lapan agensi kerajaan dengan memberikan 27 cadangan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan sektor terbabit agar mampu menutup segala ruang dan peluang berlakunya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"SPRM Johor menjalankan pelbagai aktiviti-aktiviti berkaitan pendidikan pencegahan rasuah bagi menyampaikan maklumat antirasuah secara berterusan kepada kumpulan sasar seperti agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

"Sepanjang 2020 hingga Mac tahun ini, sebanyak 188 ceramah diberikan kepada kesemua kumpulan sasar, selain daripada 95 program berteraskan pencegahan rasuah, dan 96 aktiviti lain yang merangkumi penganjuran bengkel, keterlibatan dan diskusi meja bulat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:09 PM