FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamad Ashyiq Haqimi


Kuala Lumpur: Kira-kira 600 murid kumpulan B40 di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak bakal menerima manfaat daripada projek Sekolah Enuma Malaysia (Sekolah Enuma) yang berlangsung hingga Ogos ini.

Sekolah Enuma adalah aplikasi pembelajaran digital bagi membantu murid berusia lima hingga lapan tahun menerima pendidikan dan menangani cabaran pembelajaran secara interaktif.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Enuma Inc, Sooinn Lee berkata, pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Telekom Malaysia (YTM) dan Yayasan Teach for Malaysia (TFM) untuk membangunkan aplikasi itu yang bercirikan 'gamified'.

Katanya, menerusi Sekolah Enuma, murid berpeluang belajar daripada pelbagai aktiviti pembelajaran, permainan, e-buku dan video mesra kanak-kanak, termasuk yang dihasil berdasarkan budaya serta nilai Malaysia.

"Aplikasi direka menggunakan sistem operasi Android dan tidak memerlukan sambungan internet sebaik sahaja dimuat turun, jadi ia amat sesuai digunakan di lokasi terpencil dan komuniti yang kekurangan guru terlatih serta sambungan internet terhad.

"Murid akan belajar melalui permainan mesra kanak-kanak yang menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan, menarik dan boleh ditentukan mereka sendiri," katanya pada Majlis Perasmian Sekolah Enuma Malaysia yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.

Majlis dirasmikan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Najib Ab Rahman dan turut dihadiri Pengarah YTM, Izlyn Ramli serta Ketua Pegawai Eksekutif TFM, Chan Soon Seng.

Sooinn berkata, Sistem Pengurusan Pembelajaran Berasaskan Web (LMS) yang terdapat dalam aplikasi berkenaan turut membolehkan guru mengurus dan memantau kemajuan prestasi murid.

Sementara itu, Izlyn berkata, projek itu adalah lanjutan daripada kerjasama mereka sebelum ini terutama dalam menggalakkan pembelajaran digital dalam kalangan murid prasekolah dan sekolah rendah.

"Ia juga sejajar aspirasi Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk memacu Digital Malaysia serta menyokong agenda kerajaan dalam mentransformasi pendidikan digital," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 7:51 PM