Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad ( lima dari kanan) ketika meraikan pasangan pengantin Orang Asli dalam majlis Raikan Cinta di Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad ( lima dari kanan) ketika meraikan pasangan pengantin Orang Asli dalam majlis Raikan Cinta di Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manapp

Jelebu: Merasai pengalaman manis memakai busana perkahwinan serta bersanding buat kali pertama walaupun ada antara mereka berkahwin puluhan tahun lamanya.

Ini antara detik indah 12 pasangan pengantin masyarakat Orang Asli beragama Islam yang diraikan pada program Majlis Raikan Cinta Lanjutan Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu.

Program anjuran bersama Undang Luak Jelebu,Datuk Maarof Mat Rashad dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan itu julung kali dianjurkan bagi meraikan saudara baharu.

Pegawai Agama Islam Daerah Jelebu, Mohd Murad Mohd Yusof berkata, kebanyakan pasangan terbabit adalah saudara baharu yang melangsungkan akad nikah dengan menggunakan wali hakim sebelum ini.

"Majlis pernikahan mereka diatur rapi dengan tujuan utama memastikan semua pasangan ini berkahwin mengikut hukum syarak ditetapkan.

"Ada antara mereka membabitkan lelaki yang berusia 45 tahun dan wanita paling muda berusia 19 tahun. Malah ramai dalam kalangan mereka sudah ada anak," katanya.

Mohd Murad berkata, pejabat agama bukan sekadar memastikan pasangan terbabit mempunyai perkahwinan sah tetapi turut memastikan mereka menjalani kehidupan sebagai individu beragama Islam.

Ini kerana katanya, kebanyakan pasangan itu lemah dalam pengetahuan agama Islam.

"Jadi kita bantu mereka termasuk memberi pendidikan agama lengkap dan sewajarnya," katanya.

Sementara itu seorang pengantin, Daud Ewah, 35, berkata, dia tidak menyangka berpeluang disandingkan selepas 12 tahun berkahwin.

"Saya dan isteri seolah-olah baharu saja berkahwin dan diraikan seperti pengantin baru.

"Kami pun sudah ada dua anak berusia 11 dan 13 tahun. Majlis ini menjadi kenangan manis buat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 3:15 PM