Datuk Masir Kujat.
Datuk Masir Kujat.
BERNAMA

Kuching: Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi satu kenyataan, Masir berkata, beliau kini memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, keputusan keluar daripada PSB dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama penyokong akar umbi di kawasannya serta beberapa faktor lain seperti ketidakstabilan politik negara yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

"Saya percaya langkah terbaik untuk mara ialah mengetepikan politik buat masa ini agar dapat membantu menstabilkan dan membina semula negara tercinta ini.

"Perdana Menteri kita sedang melakukan segala yang perlu bagi membantu rakyat Malaysia mengharungi tempoh sukar ini.

"Saya perlu memainkan peranan dengan menyokong sepenuhnya kepimpinan Ismail Sabri," katanya.

Pada Mac 2019, Masir keluar dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan menyertai PSB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 1:25 PM