Sebahagian Ahli Parlimen dari blok pembangkang  ketika berkumpul di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Sebahagian Ahli Parlimen dari blok pembangkang ketika berkumpul di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menegaskan mereka tetap menolak kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menyatakan mustahil Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah Ahli Parlimen kerajaan, semalam.

"Ahli-Ahli Parlimen PH bersama Ahli-Ahli Parlimen Tuaran (UPKO), Simpang Renggam (Bebas), Selangau dan Sri Aman (PSB) menegaskan bahawa kami tetap menolak kepimpinan Perdana Menteri.

"Adalah mustahil Tan Sri Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah Ahli Parlimen Kerajaan, semalam," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Turut sama, Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, dua Ahli Parlimen Parti Sarawak Bersatu (PSB) iaitu Baru Bian dan Datuk Masir Kujat serta Dr Maszlee Malik (Bebas).

Terdahulu, Muhyiddin menerusi Perutusan Khas berkata, keabsahan beliau sebagai sebagai Perdana Menteri akan ditentukan di Parlimen yang akan bersidang pada September depan.

Menurutnya, satu usul undi percaya kepada beliau akan dibentangkan di Dewan Rakyat, ketika itu.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik semula sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:00 PM