DATUK Ahmad Yakob. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Ahmad Yakob. FOTO Arkib NSTP.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan tidak menjual tanah kepada rakyat sebagaimana yang didakwa, sebaliknya melupuskan tanah untuk diberi milik kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, dakwaan terbabit adalah tidak benar kerana kerajaan negeri tidak berbuat sedemikian.

"Kerajaan lupus tanah untuk diberi milik kepada rakyat dengan mengenakan bayaran premium tertentu. Jika rasa mahal, mereka boleh membuat rayuan untuk pengurangan.

"Apa yang pasti, kita tidak jual tanah kepada rakyat," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga) berhubung dasar kerajaan dalam soal pemberian tanah berikutan terdapat dakwaan mengatakan kerajaan negeri menjual tanah kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan berkata, kerajaan sudah melaksanakan pengurangan bayaran premium tanah kepada rakyat di negeri itu.

Katanya, mana-mana penduduk yang merasakan bayaran premium perlu dibayar itu tinggi, mereka boleh membuat rayuan untuk mendapatkan pengurangan.

"Boleh buat cadangan mengikut keadaan orang yang membuat rayuan. Kadang-kadang kita terkena dengan mereka yang sudah berduit.

"Namun mereka yang kurang berkemampuan boleh membuat dengan mengemukakan sebab tertentu sebelum rayuan terbabit diangkat untuk perbincangan.

"Menerusi perbincangan itu, kita akan membuat keputusan berapa banyak pengurangan yang dikenakan kepada pemohon," katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 10:21 AM