Orang ramai mengambil peluang berbuka puasa bersama keluarga di Pantai Batu Buruk.  FOTO ARKIB NSTP
Orang ramai mengambil peluang berbuka puasa bersama keluarga di Pantai Batu Buruk. FOTO ARKIB NSTP
Baharom Bakar.


Kuala Terengganu: Berbuka puasa di kawasan lapang masih tidak dibenarkan walaupun kerajaan sudah memberi kelonggaran sektor ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan memasuki kawasan bazar Ramadan.

Beliau berkata, setakat ini prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri seperti ditetapkan kerajaan pada tahun lalu masih berkuat kuasa.

"Penganjur dan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negeri diingatkan untuk terus kekal mematuhi SOP sedia ada sehinggalah kerajaan mengeluarkan peraturan baharu.

"Kerajaan negeri masih menunggu SOP baharu bazar Ramadan dan Aidilfitri susulan negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik, berkuat kuasa 1 April ini," katanya kepada media di lobi pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Sidang Dun Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, penganjur dan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri diminta mengguna pakai SOP sedia ada dan kerajaan negeri akan segera mengumumkan selepas menerima peraturan baharu sebelum 1 April ini.

Menurutnya, sebanyak 63 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri membabitkan seramai 5,342 peniaga diluluskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 1:45 PM