KANAK-kanak melihat kucing ketika Pameran Show Kelab Kucing Malaysia di Jaya Shopping Center, Petaling Jaya. FOTO AZHAR RAMLI
KANAK-kanak melihat kucing ketika Pameran Show Kelab Kucing Malaysia di Jaya Shopping Center, Petaling Jaya. FOTO AZHAR RAMLI
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Program Kebajikan Kucing anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM) memberi peluang kepada pemilik kucing untuk membawa keluar haiwan berkenaan yang lama 'terperuk' semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemilik kucing, Nor Aziah Abdullah, 51, berkata, dia membawa lapan kucing peliharaannya ke program berkenaan.

"Ini kali pertama saya bawa kucing ke program seperti ini sejak PKP dilaksanakan.

"Ia juga boleh mengelakkan kucing daripada tertekan kerana hanya tinggal di rumah. Pada masa sama, saya boleh memeriksa kesihatan kucing menerusi pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor veterinar yang dijemput dalam program ini," katanya.

Nor Aziah ditemui di lokasi penganjuran program itu yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Sarah Hashim, 26, berkata, dia datang bersama suaminya, Naqiyuddin Naharudin, 28, ke program berkenaan untuk mencari kucing 'angkat'.

"Saya ternampak iklan mengenai program ini di Instagram beberapa hari lalu dan membawa suami untuk mencari kucing angkat.

"Ketika ini, saya memiliki dua kucing betina dan mahu mencari seekor lagi," katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Sementara itu, Presiden KKM Khalid Rashid berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program berkenaan.

"Hari ini, kita ada pameran kucing tempatan yang juga kucing jalanan yang sebelum ini kita ambil dan jaga sebelum diserahkan kepada pemilik ketika ini.

"Esok pula, kita ada pertandingan kucing baka luar negara. Selain itu, kita juga adakan jualan barangan kucing dengan hasil jualan disalurkan terus ke tabung kebajikan kucing," katanya.

Penyanyi lagenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah turut meluangkan masa kira-kira satu jam bagi melihat aktiviti pada program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 5:37 PM