GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Pengambilan air bawah tanah bagi menampung bekalan tambahan air mentah di Pulau Pinang tidak sesuai dilaksanakan kerana ia bakal mengundang pelbagai kesulitan, antaranya bencana alam termasuk risiko terhadap nyawa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, ia juga cadangan tidak berasas untuk dilaksanakan di negeri ini disebabkan jumlah air bawah tanah tidak mencukupi untuk menampung bekalan air tambahan Pulau Pinang yang berjumlah kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH) sehingga 2050.

"Keluasan tanah Pulau Pinang hanya 1,048 kilometer persegi (km2) dengan keluasan kecil. Kajian oleh agensi Persekutuan menunjukkan Pulau Pinang tidak mempunyai ketersediaan air bawah tanah yang boleh diyakini dan mencukupi dalam wilayahnya untuk memenuhi permintaan air negeri sehingga 2050.

"Selain itu, menggali tanah untuk mendapatkan air di kawasan bandar Pulau Pinang akan menimbulkan kesulitan yang tidak perlu kepada orang ramai dan perniagaan.

"Lebih penting lagi, aktiviti cari gali dan penerokaan air bawah tanah sudah pasti akan meletakkan ribuan nyawa dan harta benda dalam risiko terutamanya di kawasan yang mempunyai bangunan tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaseni berkata demikian bagi mengulas cadangan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan Pulau Pinang boleh meneruskan cara alternatif, seperti penerokaan air bawah tanah sebagaimana di Kelantan dalam menangani keperluan airnya.

Ia selepas Kerajaan Perak dilapor masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan kerajaan Pulau Pinang bagi membekalkan air mentah ke negeri itu disebabkan keperluan domestik yang masih tidak mencukupi.

Dalam pada itu, Jaseni berkata, sudah didokumentasikan pengeluaran air bawah tanah menyebabkan penurunan tanah (tenggelam) seperti berlaku di Kelantan, selain negara luar seperti Bangkok, Thailand; Venice, Itali dan Jawa, Indonesia.

"Disebabkan keadaan sosioekonomi di negeri ini yang padat maka risiko pencemaran air bawah tanah adalah secara eksponen lebih tinggi dan sebab itu PBAPP tidak berhasrat untuk meneroka sumber air mentah yang berpotensi berbahaya untuk operasi bekalan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 8:22 PM