GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menahan 11 individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi dijalankan selama dua hari hingga awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, 11 lelaki berusia 25 hingga 57 tahun ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama.

"Operasi bermula dari jam 9 malam dan selesai jam 4 pagi di sekitar pusat bandar, Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Bangsar dan Jalan Tun Razak.

"Aktiviti samseng jalanan tidak dikesan pada dua malam ini berikutan hujan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 164 jumlah saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan sembilan motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik ( JSPT ), Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 10:15 AM