TAMBAK Johor. FOTO Arkib NSTP
TAMBAK Johor. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Singapura: Singapura mengalu-alukan pengumuman Malaysia untuk membuka semula sempadannya pada 1 April depan.

Bagaimanapun, Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) Singapura mengenai Covid-19 memaklumkan, republik itu masih belum menentukan tarikh pembukaan semula sempadannya, buat masa ini.

Pada sidang akhbar maya semalam, pengerusi bersama MTF Gan Kim Yong mengulangi kenyataannya bahawa Singapura sedang menyusun atur operasi terperinci dengan Malaysia dan akan berkongsi butiran lanjut apabila sudah bersedia.

Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura berkata, ia akan melihat kereta, motosikal, dan bas tambahan, termasuk koc persendirian yang akan digunakan oleh syarikat untuk membolehkan pekerja mereka, pergi dan balik.

Beliau berkata demikian ketika MTF disoal berhubung butiran khusus yang sedang diusahakan serta penanda aras untuk memutuskan pembukaan semula sempadan dan bila ia akan berlaku.

"Kami sedang melihat pelbagai aspek dan ini juga membabitkan pelarasan yang ketara dan operasi di lapangan.

"Menyedari hari ini kita mempunyai beberapa ribu (kes Covid-19) sehari dan pada masa akan datang kita mungkin mempunyai sejumlah besar orang yang merentas setiap hari," kata menteri itu.

Gan menyatakan bahawa ia adalah satu usaha besar.

"Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat dan Jabatan Imigresen sedang berbincang rapat dengan rakan sejawatan kami dari Malaysia dan juga mengusahakan butiran operasi untuk memastikan apabila kami dapat membenarkan lebih banyak trafik melintas (di mana) ia dapat dilakukan dengan lancar. dan selamat," kata Gan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung turut diajukan soalan sama berhubung tarikh (pembukaan sempadan).

"Kedua-dua Kementerian Kesihatan sentiasa berhubung dan saya fikir kita perlu mengatur masa dengan betul, ia mesti dilakukan apabila situasi pandemik di kedua-dua pihak mengizinkan.

"Ini adalah sesuatu yang kami tidak fikir kami boleh menentukan tarikhnya tetapi diperhatikan dengan teliti dan apabila keadaan mengizinkan barulah kami boleh bercakap mengenai pembukaan semula," tambahnya.

Singapura melaporkan 16,165 kes baharu Covid-19 pada tengah hari Khamis (10 Mac) dengan enam kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 12:45 PM