NADIA mengundi bagi Dun Perling di SK Taman Sutera, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NADIA mengundi bagi Dun Perling di SK Taman Sutera, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Golongan pengundi baharu tidak ketinggalan beratur seawal 8 pagi bagi menjalankan tanggungjawab mereka.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, di sini, mendapati pengundi baharu antara golongan paling ramai hadir sejak awal pagi selain pengundi warga emas.

Pelajar kolej vokasional, Nadia Nur Aisyah Abdull Manan, 18, yang juga pengundi automatik berkata, beliau teruja dapat menunaikan tanggungjawabnya buat pertama kali.

"Ibu bapa antara yang menggalakkan saya pergi mengundi hari ini berikutan pada awalnya saya tidak berminat.

"Namun, apabila saya mula mengikuti beberapa calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di aplikasi TikTok dan membaca komen-komen orang ramai, saya mula berminat mengikuti rapat calon yang ingin diundi khususnya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perling.

"Walaupun ibu bapa ada memberikan pendapat mereka untuk mengundi calon tertentu, namun saya akhirnya membuat keputusan sendiri berdasarkan input yang diperolehi di media sosial termasuk komen orang ramai," katanya.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

Pekerja swasta, Nur Amira Faqihah Jafridin, 23, yang pertama kali mengundi berkata, dia tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggunjawab kepada negeri.

Dia dan rakan juga sering berbincang mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) selain mengikuti perkembangan politik semasa di media sosial terutama Facebook, Twitter dan TikTok.

"Pendapat menyatakan pengundi baharu tidak berminat mengundi rasanya tidak benar. Saya dan rakan sebaya sering juga berbincang mengenai politik sejak PRN Johor diumumkan, selain kami juga meneliti calon yang kami ingin undi.

"Namun diakui pengundi baharu seperti saya lebih gemar menyatakan pandangan selain mendapatkan perkembangan terkini calon menerusi media sosial kerana ia lebih mudah," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 9:33 AM