PETUGAS SPR membuat persiapan di saluran mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PETUGAS SPR membuat persiapan di saluran mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERNAMA

Johor Bahru: Teruja untuk menjadi sebahagian daripada sejarah, Raja Muhammad Haiqal Raja Jaafar, 20, yang akan mengundi buat pertama kali merancang untuk tiba awal di pusat mengundinya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat, membabitkan 173,177 anak muda berusia 18 hingga 20 tahun yang layak.

Raja Muhammad Haiqal, pelajar tahun akhir Diploma Kesetiausahaan Pentadbiran di Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya 3, Permas di Pasir Gudang bagi memilih wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

"Jujurnya walaupun tidak mengikuti sepenuhnya perkembangan politik, saya tetap berasa gementar kerana ini soal menentukan masa depan tidak hanya untuk kami (anak muda) malah semua pihak.

"Berbekalkan tunjuk ajar ibu bapa yang membimbing bagaimana cara untuk mengundi dan maklumat hasil penyelidikan sendiri... insyaAllah calon yang saya pilih nanti ialah individu yang mesra rakyat dan sering ada ketika rakyat susah," katanya kepada Bernama.

Kerani di sebuah syarikat swasta, Nursyazlin Najiha Karyadi, 20, berkata, beliau sudah meneliti sebaik mungkin latar belakang dan pencapaian calon pilihannya kerana tidak mahu tersilap langkah.

Pengundi di kerusi DUN Kempas itu berkata, beliau tidak mahu terpengaruh dengan pilihan yang dibuat ibu bapa dan sanak saudaranya walaupun mereka lebih arif mengenai pilihan raya.

"Setiap orang ada kehendak dan matlamat berbeza, jadi tidak usah terbawa-bawa dengan pendapat pihak lain kerana perkara paling penting ialah kami (anak muda) mahukan wakil rakyat yang senang didekati, boleh bekerja pada bila-bila masa dan bukannya ada bila waktu begini (pilihan raya) sahaja," katanya.

Puteri Wangsa mempunyai paling ramai pengundi dalam kalangan anak muda dengan 11,157 pengundi, diikuti Kota Iskandar (10,941), Tiram (10,613), Permas (8,994), Perling (7,859), Johor Jaya (6,446) dan Skudai (5,949).

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

PRN Johor esok membabitkan pertembungan 239 calon di 56 kerusi DUN.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 4:20 PM