Junita Mat Rasid


Johor Bahru: Sejumlah 29 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setakat jam 12 tengah hari.

Seramai 239 calon daripada 11 parti politik dan Bebas bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor Ke-15.

Proses pengundian PRN Johor bermula jam 8 pagi membabitkan seramai 2,539,606 layak mengundi di 1,021 pusat mengundi, membabitkan 4,638 saluran.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 1:11 PM