AKSI  Muhammad Taslim   di Kejohanan Berbasikal BMX Freestyle Flatland Sedunia 2023 di Glasgow, Scotland, baru-baru ini.  FOTO PKBM
AKSI Muhammad Taslim di Kejohanan Berbasikal BMX Freestyle Flatland Sedunia 2023 di Glasgow, Scotland, baru-baru ini. FOTO PKBM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tawaran berguru di Pusat Berbasikal Dunia Korea (WCC Korea) memberi peluang dan ruang buat jaguh BMX negara Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff untuk menghadiahkan kilauan emas buat negara pada temasya Sukan Sea Thailand 2025.

Muhammad Taslim yang juga memenangi gangsa pada edisi di Manila 2019 berkata, dia mungkin akan mula menjalani latihan di negara 'kpop' itu bermula tahun depan.

Katanya, peluang berguru di Korea Selatan demi mempertingkatkan lagi kemahiran dan perbaiki lagi teknik dalam usaha meraih kejayaan positif di pentas antarabangsa.

"Saya ingin menambah kemahiran beraksi menjelang beberapa kejohanan serta temasya khususnya Sukan Sea di Thailand. Saya dimaklumkan acara BMX Freestyle akan dipertandingkan di Bangkok. Jadi saya ingin mengambil peluang untuk menghadiahkan pingat kepada Malaysia.

"Kalau acara BMX Freestyle dipertandingkan di Bangkok, saya nampak kita boleh memperbaiki keputusan di Manila. Saya yakin boleh memperbaiki prestasi sekiranya dihantar ke WCC Korea," katanya yang juga dikenali sebagai Botak.

Sebelum itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab memaklumkan pihaknya sudah berhubung dengan pengurusan WCC Korea dan nama juara kebangsaan 2023 itu kini diletakkan dalam senarai menunggu sebagai pelatih di pusat berkenaan.

"PKBM menghantar lima pelatih BMX acara Flatland di WCC Korea. Bagaimanapun nama Sheikh Muhammad Taslim tercicir kerana pengurusan WCC Korea hanya ingin pelumba BMX acara Flatland.

"Bagaimanapun, pengurusan WCC Korea bercadang untuk menyelitkan kursus bagi acara BMX Freestyle. Kemungkinan pada tahun depan. Memandangkan PKBM sangat rapat dengan pengurusan WCC Korea, kami bercadang menghantar nama Sheikh Muhammad Taslim berlatih di WCC Korea.

"PKBM sedar kebolehan Sheikh Muhammad Taslim yang berpeluang untuk menghadiahkan pingat pada kejohanan serta temasya termasuk Sukan Sea 2025 di Bangkok, Thailand nanti.

"Jadi kewajaran untuk beliau mengasah bakat di WCC Korea sangat perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 12:33 PM