LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menjalankan siasatan dalam semua aspek berhubung kemalangan meragut nyawa dua penunggang motosikal di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Sungai Petani, Kedah, semalam.

Pengarah JSPT Datuk Mat Kasim Karim berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam kejadian ini, dua penunggang motosikal meninggal dunia dan tujuh lagi mengalami kecederaan. Pemandu lori sudah ditahan.

"JSPT akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus meliputi segala aspek serta berlandaskan undang-undang demi keadilan semua pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.40 petang semalam, dua penunggang motosikal meninggal dunia selepas dirempuh lori dipandu suspek.

Ketika itu, dua mangsa bersama beberapa penunggang motosikal lain sedang berteduh di bawah jejambat kerana hujan lebat.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31.

Sementara itu, Mat Kasim menyeru penunggang motosikal yang berhenti di bahu jalan dengan tujuan berteduh di bawah jambatan semasa hujan supaya memilih tempat yang selamat dengan berdiri di bahagian dalam besi penghadang.

"Elakkan duduk di atas motosikal dan berada berhampiran jalan bagi mengelak risiko terdedah kepada kemalangan," katanya.

Beliau turut menggesa pengguna jalan raya supaya lebih peka dan prihatin kepada penunggang motosikal.

"Pemandu perlu lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan semasa hujan kerana jarak penglihatan yang terhad selain permukaan jalan licin boleh meningkatkan risiko berlaku kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 1:07 PM