Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang, Bagan Datuk, di sini, belum dapat dibuka semula meskipun kerajaan sudah mengumumkan pembukaan semula sempadan negara susulan fasa peralihan ke endemik mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, bagaimanapun pihaknya sedang mengkaji kesesuaian daripada pelbagai aspek sebelum memberi kebenaran untuk pembukaan semula.

"Setakat ini ia belum dibuka lagi, namun kita dalam kajian dan berkemungkinan akan dilaksanakan (pembukaan semula).

"Kita sedang mengkaji kesesuaian masa dan keperluan lain sebelum kita memberi kebenaran untuk kegunaan pengunjung di terminal feri antarabangsa itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Pecah Tanah Jalan Meru Raya-Klebang di sini hari ini.

Mohd Zolkafly berkata, kajian pembukaan semula itu tidak akan dibuat secara tergesa-gesa dan pihaknya akan membuat kajian secara lebih terperinci.

"Saya dapat maklumat (cadangan buka semula) ini secara tak rasmi sahaja, mereka belum kemukakan kepada pejabat saya untuk pelaksanaan itu,tetapi kita dapat maklumat berkenaan perkara itu.

"Sebenarnya banyak aspek dari segi keselamatan, kemudahan, keperluan yang perlu kita beri keutamaan sebelum memberi kebenaran untuk pembukaan," katanya.

Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang di Bagan Datuk di negeri ini menjadi tumpuan warga negara Indonesia untuk pulang ke kampung halaman sebelum ditutup kerana pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 4:36 PM
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air & Pengangkutan Awam Negeri Perak Datuk  Mohd Zolkafly Harun merasmikan projek pecah tanah projek penyambungan jalan bagi Cadangan Jalan Utama Meru Raya-Klebang. FOTO L.MANIMARAN
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air & Pengangkutan Awam Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun merasmikan projek pecah tanah projek penyambungan jalan bagi Cadangan Jalan Utama Meru Raya-Klebang. FOTO L.MANIMARAN