PASUKAN bomba memadam kebakaran di Bukit Senggeh. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN bomba memadam kebakaran di Bukit Senggeh. FOTO Ihsan Bomba.
Nuraliawati Sabri


Jasin: "Kejadian berlaku amat pantas, api sangat marak dan tidak sampai 10 minit habis terbakar satu rumah sebelum terdapat bunyi letupan dari dalam.

"Mujur saya cepat tersedar sebelum menjerit memanggil emak dan bapa mentua meminta mereka keluar untuk menyelamatkan diri," kata saksi kebakaran Suhana Abd Razak, 40.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, kediaman mentua wanita terbabit di Kampung Bukit Senggeh, di sini, musnah terbakar.

Menurut Suhana, ketika kejadian ibu serta bapa mentuanya berusia 70 dan 80-an dikatakan sedang tidur di ruang tamu.

"Ketika itu saya baru hendak makan sebelum terhidu bau benda terbakar, lalu menjengah keluar untuk mengetahui arah datangnya bau terbabit.

"Memang terkejut serta panik apabila ternampak kepulan asam hitam di bawah serambi rumah, dalam keadaan menggigil saya kuatkan diri menelefon bomba meminta bantuan," katanya.

Katanya, walaupun tiada satu barang dapat diselamatkan dia bersyukur kerana ibu, bapa mentua serta seorang anak saudaranya yang turut tinggal di rumah terbabit selamat.

"Mereka keluar sehelai sepinggang selepas kami menjerit meminta keluar," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.05 petang sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan BBP Jasin Bestari bersama sembilan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, didapati api sudah marak dan pasukan bomba mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah sebelah.

"Anggaran kebakaran membabitkan kira-kira 90 peratus. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 11:34 PM