ISMAIL menunjukkan tangannya yang melecur.
ISMAIL menunjukkan tangannya yang melecur.

Kuala Terengganu: “Saya nekad meredah ke dalam rumah bagi menyelamatkan dokumen penting keluarga walaupun api marak ketika itu,” kata Ismail Awang, 70, yang cedera dalam kebakaran di Kampung Sekati di Manir di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.40 malam, Ismail yang juga bapa kepada sembilan anak melecur di tangan kanannya selepas disambar api ketika menyelamatkan barangan miliknya.

Ketika kejadian, Ismail bersama dua anak dan seorang cucu berada di rumah, manakala lima ahli keluarga yang lain termasuk isterinya, Halimah Muda, 62, tiada di kediamannya kerana menziarahi seorang ahli keluarga yang terbabit dalam kemalangan di Gelugor Kedai.

Menurutnya, dia bersama dua anak lelaki dan seorang cucu perempuan menonton televisyen sebelum terhidu bau hangit.

Katanya, dia kemudian mengarahkan anak bongsunya, Muhammad Ikhwan Qhusyairi, 20, untuk mencari punca bau hangit itu.

“Anak memaklumkan bau hangit itu datang dari sebuah bilik dalam rumah menyebabkan kami bergegas keluar bagi menyelamatkan diri.

“Dalam keadaan panik itu, saya bersama dua anak menjerit bagi mendapatkan pertolongan jiran dan dalam kekalutan itu, saya meredah masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan dokumen penting.

“Ketika itu, saya tidak fikir langsung soal keselamatan dan dalam keadaan itu, tangan saya terkena api yang sedang marak membakar rumah kami,” katanya.

Ismail berkata, kejadian menimpanya disedari jiran berhampiran selepas mendengar jeritan mereka selain bunyi letupan yang datang dari rumah mereka.

“Nasib baik ada jiran yang membantu dengan menghubungi bomba dan memindahkan motosikal yang ada di kawasan rumah.

“Jika tidak, mungkin kejadian lebih buruk akan berlaku,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Ismail, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga kerugian hampir RM150,000 membabitkan pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai, barangan kemas dan peralatan salun rambut milik anaknya yang diusahakan di hadapan rumah sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Timbalan Penguasa Bomba Che Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu jam 8.50 malam.

Menurutnya, tiga jentera dengan kekuatan 26 anggota masing-masing dari BBP Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Pasukan Bomba Sukarela Sri Nerus bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Katanya, hampir 80 peratus kediaman berkenaan sudah terbakar ketika pihaknya sampai di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:10 AM