ANGGOTA bomba memadam kebakaran di  Lorong Siantan, Kampung Sri Gombak Indah, awal pagi semalam.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Lorong Siantan, Kampung Sri Gombak Indah, awal pagi semalam.

Gombak: “Bunyi tangisan bayi meminta susu berjaya menyelamatkan kami sekeluarga daripada terperangkap di dalam rumah yang sedang terbakar,” ujar mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Razali, 30-an.

Dalam kejadian sekitar jam 4.15 pagi semalam, dua rumah terletak di Lorong Siantan, Kampung Sri Gombak Indah, di sini, musnah dijilat api.

Bagaimanapun semua penghuni rumah itu sempat lari menyelamatkan diri.

Razali berkata, dia hanya menyedari kebakaran yang berlaku sejurus bangkit dari tidur ekoran anaknya menangis meminta susu.

“Saya bagaimanapun terhidu bau hangit sebelum segera menuju ke dapur. Saya kemudian mendapati api sedang marak membakar rumah sebelum menjerit mengarahkan ahli keluarga keluar dari rumah.

“Saya hanya mampu melihat semua perkakas di dalam rumah musnah terbakar tanpa sempat melakukan apa-apa,” katanya yang berniaga secara kecil-kecilan

Dia yang sudah menetap di situ sejak lebih 10 tahun, kini buntu apabila dia dan keluarga kini hilang tempat berteduh.

Seorang lagi mangsa, Khairi Rosman, 26, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas dikejutkan oleh isterinya ketika dia sedang tidur.

“Saya segera melarikan diri bersama lima ahli keluarga melalui pintu belakang rumah sebaik mendapati api semakin marak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.22 pagi.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Gombak Selatan bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati api sudah membakar hampir 95 peratus rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, api berjaya dikawal dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:42 AM