OPERASI berterusan polis untuk banteras judi online di Selangor gagal membuahkan hasil diharapkan.
OPERASI berterusan polis untuk banteras judi online di Selangor gagal membuahkan hasil diharapkan.
Junita Mat Rasid

Johor Bahru: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui masalah premis perjudian dalam talian di Selangor berleluasa disebabkan kerajaan negeri tidak serius menanganinya dan kurang bekerjasama dengan pihak polis untuk menutup premis terbabit.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, polis berdepan masalah selepas serbuan dibuat, premis itu kembali beroperasi seperti biasa kerana mendapat lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Lesen untuk premis dikeluarkan oleh PBT. Kadang-kadang lesen dikeluarkan untuk lesen halal, tetapi di sebalik tabir digunakan untuk aktiviti haram seperti judi online (dalam talian).

“Di Selangor saya tidak hairan kerana ia bukan kerajaan BN (Barisan Nasional) dan mereka mungkin tidak serius dalam menangani masalah jenayah seperti dibuat oleh kerajaan BN.

“Masalahnya, bila polis buat tangkapan dan serbuan tetapi selepas itu premis itu dibenarkan beroperasi semula, bukannya terus disenarai hitam oleh PBT. Ini jadi masalah kepada polis,” katanya selepas Program Sentuhan Kasih sempena sambutan Tahun Baru Cina, di pekan Tampoi di sini, semalam.

LAPORAN Harian Metro, kelmarin.
LAPORAN Harian Metro, kelmarin.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Harian Metro mengenai tindakan perang habis-habisan terhadap premis perjudian dalam talian di seluruh negara yang diisytiharkan Bukit Aman hujung tahun lalu belum terlaksana sepenuhnya.

Rangkaian sindiket perjudian dalam talian di Selangor dikesan masih aktif berbanding di ibu kota dan kebanyakan negeri lain.

Nur Jazlan berkata, walaupun pihak polis mempunyai kuasa membuat serbuan tetapi pihak PBT masih memberi lesen yang membolehkan premis terbabit dibuka semula.

“Ini masalah dihadapi polis di Selangor. Sepatutnya bila premis diserbu dan disahkan judi online, ia patut ditutup terus oleh PBT, tetapi di Selangor ada masalah kurang kerjasama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 10:39 AM