Siti Rohana Idris


Tumpat: Sudah lima hari enam beranak dari Kampung Kajang Sebidang di sini berlindung di rumah sarang burung layang-layang apabila kediaman mereka dimasuki air Ahad lalu.

Kesemua keluarga Nor Haizan Mohd Din, 39, berteduh di tingkat dua bangunan sarang burung layang-layang yang diusahakan keluarga bersebelahan kediaman mereka.

Nor Haizan berkata, air dalam rumahnya mencecah paras 0.5 meter manakala di halaman pula hampir 1.5 meter dan situasi itu sering dialami mereka sekeluarga menjelang musim tengkujuh.

Keluarga Nor Haizan Mohd Din, 39, berteduh di tingkat dua bangunan yang dijadikan sarang burung layang-layang bersebelahan kediaman mereka yang dinaiki air. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Keluarga Nor Haizan Mohd Din, 39, berteduh di tingkat dua bangunan yang dijadikan sarang burung layang-layang bersebelahan kediaman mereka yang dinaiki air. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Ahad lalu, air mulai melimpah masuk ke kawasan kampung dan menjelang tengah hari, ia semakin meningkat dengan cepat menyebabkan kami keluar rumah melalui tingkap sebelum menaiki bot untuk berpindah ke bangunan sarang burung layang-layang di sebelah rumah.

"Rumah sarang burung layang-layang ini dibina sejak lapan tahun lalu dan ketika banjir, tingkat dua bangunan itu memang dijadikan tempat kami berpindah.

"Selain ahli keluarga dan saudara-mara, bangunan yang turut dilengkapi bekalan elektrik serta tandas ini juga ditumpangi penduduk kampung yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nor Haizan berkata, walaupun peralatan dalam rumah sudah diletakkan di tempat tinggi, masih ada juga kerosakan berlaku membabitkan sofa dan almari yang tidak sempat dialih kerana air melimpah dengan cepat.

Bukan hanya itu, katanya, dua kereta jenis Perodua Kancil milik keluarga juga tenggelam kerana tidak sempat dibawa keluar.

"Hari ini paras air sudah semakin menurun dan walaupun sebahagian ruang dalam rumah masih digenangi air, kami sedang menjalankan operasi pembersihan dan berhasrat untuk kembali berpindah dalam masa terdekat.

"Kerja pembersihan rumah perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan kotoran bertukar menjadi lumut dan sukar dibersihkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 4:41 PM