PEGAWAI polis berpangkat Inspektor direman selama lima hari. FOTO L Manimaran
PEGAWAI polis berpangkat Inspektor direman selama lima hari. FOTO L Manimaran
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Inspektor polis direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dengan sindiket perlombongan bitcoin.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Jesseca Daimis bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Menurut sumber, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya di Chemor pada 1 pagi tadi ketika SPRM melancarkan serbuan Op Power.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan di lokap Pejabat SPRM Ipoh.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap jingga dan bergari tiba di perkarangan mahkamah sambil diiringi pegawai SPRM sekitar kira-kira jam 10 pagi.

Selasa lalu, media melaporkan enam lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki memberi wang rasuah secara bulanan antara RM500 hingga RM15,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Utara dan Zon Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 3:40 PM