TAN SRI AZAM BAKI
TAN SRI AZAM BAKI

Perkongsian sempena ulang tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-55 bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM TAN SRI AZAM BAKI.


Tahun ini SPRM menyambut ulang tahun ke-55, apakah pencapaian terbesar SPRM setakat ini?

Seperti yang diketahui umum, SPRM menekankan tiga strategi utama iaitu daripada segi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan.

Jika dilihat secara menyeluruh, semenjak penubuhan SPRM, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh SPRM, bukan sahaja daripada segi operasi malah termasuk aspek pencegahan dan pendidikan.

Sebagai perkongsian, SPRM telah membentuk satu kaedah penyiasatan yang menjayakan kes berprofil tinggi melibatkan individu berjawatan atau berkedudukan tinggi.

Jika diperincikan daripada segi kejayaan operasi, setakat ini, SPRM telah merekodkan sebanyak 91.1 peratus atau 266 kes salah laku rasuah yang berakhir dengan sabitan daripada 292 kes yang selesai dibicarakan bagi tahun 2021. Ini merupakan satu kejayaan kerana melebihi kadar sabitan kesalahan rasuah sebanyak 90 peratus yang ditetapkan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023.

Daripada segi pemulihan aset pula, tahun lalu, jumlah aset yang dilucutkan hak dan dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia adalah sebanyak RM5.1 bilion, iaitu 99.57 peratus adalah daripada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan terhadap kes berkenaan boleh dikatakan sebagai sangat mencabar kerana banyak kekangan yang kami hadapi dari pelbagai aspek ketika menjalankan siasatan.

Namun dengan kejayaan bermula daripada siasatan sehingga ke peringkat pendakwaan, ia membuktikan kemampuan dan kebolehan SPRM dalam mengendalikan kes berprofil tinggi dan kompleks yang bukan sahaja diiktiraf di negara ini malah di peringkat antarabangsa.

Selain kes 1MDB dan SRC International, kes skandal rasuah Op Water juga antara pencapaian besar bagi SPRM dengan penyitaan paling besar iaitu wang tunai dan barangan lain seperti kenderaan mewah dan barang kemas bernilai jutaan ringgit.


Apakah pembaharuan SPRM setakat ini, khususnya selepas Tan Sri mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM?

Sebelum tahun 2000, SPRM banyak kes yang reaktif, di mana BPR lebih kepada menunggu maklumat atau aduan daripada orang ramai. Selepas tahun 2000, kita menggunakan kaedah perisikan dan undercover untuk membongkar kes sindiket atau kes rasuah secara bergerombolan.

Kaedah ini diperkembangkan lagi, sekarang kita gunakan Intelligence Based Investigations (IBI).

Kaedah yang ini proaktif. Kaedah ini digunakan untuk kes berprofil tinggi di mana Deep Analysis dilaksanakan kepada subjek-subjek sebelum proper investigations.

Jadi dengan Deep Analysis, mula-mula identiti pelaku rasuah berprofil tinggi dikenal pasti dan kedua ialah pemulihan aset, di mana aset dikembalikan kepada kerajaan. Kaedah IBI ini dapat membongkar grand corruption.

Tahun-tahun kebelakangan ini, kes besar seperti Op Water, Op Power, Op Hack, 1MDB dan SRC dapat dibongkar dengan kaedah IBI ini.


Bagaimana pula statistik tangkapan dan pendakwaan bagi Januari 2020 hingga Ogos 2022?

Dalam tempoh hampir tiga tahun bermula 2020 sehingga Ogos 2022, SPRM menangkap seramai 2,553 individu manakala sebanyak 1,313 pertuduhan pula dilaksanakan membabitkan kes rasuah.

Jika diperincikan jumlah tersebut, SPRM menangkap seramai 998 individu pada 2020 dan seramai 851 individu pada tahun berikutnya. Pada tahun ini pula, sehingga Ogos, SPRM menahan seramai 704 individu berkaitan kes rasuah.

Jika kita melihat kepada jumlah tangkapan ini, secara puratanya, SPRM menangkap antara 70 ke 80 individu setiap bulan.

Ini termasuk pada tahun 2020 yang mana ketika seluruh dunia bergelut dengan pandemik Covid19 namun di sebalik itu SPRM terus mempamerkan kecemerlangan dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya.

Meskipun berlaku wabak pandemik pada tahun berkenaan, ia tidak menghentikan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa pada ketika itu.

Sementara itu, jumlah pertuduhan dalam tempoh sama juga memperlihatkan jumlah yang besar iaitu 522 bagi tahun 2020, sebanyak 525 pada 2021 dan sebanyak 266 bagi tempoh lapan bulan bagi tahun ini.


Sebelum ini ada pihak yang membangkitkan isu berkaitan integrity pact. Antara persoalan yang dibangkitkan ialah tidak mencapai piawaian antarabangsa seperti dicadangkan. Apa komen Tan Sri?

Persoalan mengenai isu Integrity Pact tidak mencapai piawaian antarabangsa adalah tidak tepat kerana ia ditambah baik dan mempunyai sistem serta garis panduan yang jelas dan relevan dari segi pelaksanaannya buat masa ini.

Malah perkara ini dikatakan sebagai mengikut piawaian antarabangsa. Tidak dapat dinafikan bahawa ada negara yang mempraktikkan mekanisme tersebut bagi menjamin ketelusan dalam urusan perolehan namun ia bergantung kepada negara dan keperluan semasa.

Integrity Pact yang ditambah baik mempunyai sistem dan garis panduan yang cukup jelas, tambahan pula, dengan adanya peruntukan baharu yang dimasukkan seperti Seksyen 17A Akta SPRM 2009, ia dilihat relevan dari segi pelaksanaannya buat masa ini.

Penglibatan pihak ketiga untuk memantau projek-projek kerajaan juga bergantung kepada jenis projek kerana bukan semua projek sesuai disertai pihak ketiga atas faktor kepentingan dan kerahsiaan kerajaan, misalnya projek membabitkan agensi penguatkuasa atau pertahanan awam dan negara.

Satu lagi persoalan adalah mengenai kos projek sekiranya membabitkan pemantau bebas yang mana sekiranya membabitkan pihak ketiga, nescaya bayaran perkhidmatan perlu diberikan dan nilai kos harus dipertimbangkan memandangkan mereka yang terbabit secara langsung dalam proses pemantauan projek merupakan individu atau badan profesional sekali gus akan menambah kos projek kerajaan.

Sebagai pemakluman, pemantauan pihak ketiga dalam Integrity Pact tidak terikat di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang mewajibkannya dilaksanakan baik di peringkat antarabangsa mahupun di peringkat nasional.

Sebaliknya, pematuhannya adalah lebih kepada principle yang merupakan satu amalan baik untuk digalakkan. Sehubungan itu, ketiadaan pemantauan daripada pihak ketiga tidak bermaksud Integrity Pact tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.


Boleh Tan Sri jelaskan lebih lanjut mengenai inisiatif pemotongan cukai pendapatan di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967?

Pada 5 April 2021, Menteri Kewangan meluluskan secara dasar potongan cukai kepada syarikat yang melaksanakan program integriti dan antirasuah yang memberi manfaat kepada komuniti.

Pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membolehkan syarikat mendapat potongan cukai yang diberi oleh Menteri Kewangan melalui surat Kementerian Kewangan (MoF) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 ini melayakkan syarikat atau penyumbang untuk memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

Syarikat di negara ini layak mendapat potongan cukai jika menjalankan aktiviti pendidikan atau kemasyarakatan berkaitan integriti dan antirasuah secara bersemuka atau dalam talian, sebagai contoh seminar, forum, walkabout, hebahan media atau lain-lain aktiviti.

Terdapat enam kategori syarikat yang layak untuk mendapat potongan cukai iaitu yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016; Akta Pendaftaran Perniagaan (Pindaan) 2015; Akta Perkongsian 1961; Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012; Akta Koperasi 1993 dan syarikat luar negara, yang menjalankan perniagaan di Malaysia.

Antara syarat untuk mendapatkan potongan cukai pendapatan ialah:

• Program atau aktiviti mesti dijalankan dengan kerjasama SPRM sama ada di peringkat Ibu Pejabat SPRM atau SPRM negeri

• Program atau aktiviti hendaklah memberi manfaat kepada masyarakat umum (termasuk pelajar institusi pendidikan tinggi dan murid sekolah)

• Program atau aktiviti bukan bermotifkan keuntungan kepada syarikat dan tidak menyentuh isu politik semasa


Kejayaan SPRM dalam kes profil tinggi adalah bukti dedikasi dan pengorbanan pegawai SPRM sepanjang mengendalikan kes ini. Apa komen Tan Sri?

Saya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai-pegawai Suruhanjaya ini yang berani serta tabah dalam menjalankan tanggungjawab sehingga berjaya membantu dalam kemenangan pendakwaan kes berprofil tinggi.

Penghargaan dan ucapan terima kasih itu juga susulan kejayaan SPRM di mana contoh terbaru membabitkan kejayaan kes pendakwaan SRC International di Mahkamah Persekutuan melibatkan bekas Perdana Menteri.

Selepas perjuangan yang panjang untuk SPRM, selama tujuh tahun secara tepatnya, kerja keras menyiasat kes yang rumit bagi mendapatkan semula aset negara dan untuk membantu dalam pendakwaan membuahkan hasil.

Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai saya atas keberanian serta ketabahan ketika menjalankan tanggungjawab yang diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 8:00 AM