GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Raub: Seorang penuntut universiti mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman sosial, tahun lalu.

Pengakuan Muhammad Luqmanulhakim Mohd Aziz, 22, dari Negeri Sembilan direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8.31 malam 17 April 2021 dengan membuat kenyataan itu di akaun Twitter @hkmlqmn18 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dibaca pada 9 malam hari sama di Felda Mempaga, Bentong.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Mat memohon tarikh baharu untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Muhammad Luqmanulhakim yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan ke paling minimum kerana dirinya belum bekerja.

"Kami lima beradik dan semuanya masih bersekolah. Ibu bapa saya hadir ke mahkamah hari ini dan mereka bekerja sebagai guru. Kalau boleh, saya mohon jumlah jaminan dikurangkan lagi," katanya.

Ahmad Faizadh membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April sebagai tarikh jatuh hukum.

– BERNAMA

TAG: mahkamah, Agong, jelik, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Twitter, penjara

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 3:03 PM