SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO arkib NSTP
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam.

Ia disahkan oleh ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh yang menyatakan pertemuan itu berlangsung di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Selain beliau, pertemuan itu dihadiri ADUN Sedili, Rasman Ithnain; ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari, ADUN Endau, Alwiyah Talib dan ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad.

Che Zakaria berkata, pertemuan berkenaan bertujuan untuk menyembah maklum kepada Sultan Johor bahawa mereka setia kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN).

"Kami berlima memohon menghadap Sultan Ibrahim dan Tuanku berkenan untuk menerima kami untuk mengadap baginda.

"Dalam pertemuan itu, kami menyatakan kepada baginda bahawa kami menyokong kerajaan sedia ada dan tidak akan berubah arah kepada parti lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Polemik politik Johor kembali hangat apabila terdapat ura-ura beberapa ADUN BERSATU termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian merangkap ADUN Kempas dikatakan bakal meninggalkan parti dan menyokong pembangkang.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan ketika ini PN menguasai 29 kerusi dan pembangkang 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 2:17 PM