Nancy (kanan) ketika melawat gerai kraftangan dan makanan sempena Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching di sini, hari ini. Foto Nadim Bokhari
Nancy (kanan) ketika melawat gerai kraftangan dan makanan sempena Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching di sini, hari ini. Foto Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Penganjur program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang julung kali diadakan di Sarawak tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan.

Ia terbukti apabila ada pempamer dikompaun selepas gagal mendaftar menerusi MySejahtera ketika memasuki gerai lain.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semua yang terbabit dalam penganjuran program itu sudah dimaklumkan untuk mengimbas MySejahtera ketika masuk ke gerai.

Menurutnya, semua pengunjung juga diberikan pas khas apabila memasuki kawasan pameran, namun mereka juga mesti mengimbas kod MySejahtera.

"Mungkin ada yang keliru apabila diberi pas khas itu, mereka menyangka tidak perlu mengimbas MySejahtera.

"Harus diingat mengimbas MySejahtera adalah wajib apabila masuk ke mana-mana kawasan atau gerai pameran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat gerai kraftangan dan makanan sempena Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, hanya mereka yang sudah menyelesaikan dua dos vaksinasi Covid-19 akan dibenarkan masuk dan jumlah maksimum pelawat dibenarkan pada satu-satu masa hanya seramai 350 orang.

"Kami juga menyediakan kit ujian untuk pengunjung. SOP yang digunakan untuk program ini diperakui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"SOP yang ketat pada Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 ini diharap akan menjadi penanda aras kepada aktiviti lain di seluruh negara," katanya.

Nancy berkata, beliau yakin Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini dijangka dihadiri 50,000 pengunjung.

Beliau berkata, sasaran itu realistik berdasarkan situasi semasa ketika ini yang memerlukan kawalan ketat dilaksanakan untuk memastikan pengunjung mematuhi SOP.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual hadir pada Malam Gala Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 pada malam esok.

Majlis perasmian program itu dengan kehadiran terhad itu yang akan berlangsung di Tebingan Kuching itu turut dijadual dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 4:44 PM