Oleh Asrol Awang


Kuantan: Balu Safie Ismail yang meninggal dunia akibat Covid-19 Julai tahun lalu, tidak menyangka akan menerima pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Suri rumah, Maimon Ismail, 58, dari Peramu di sini, berkata ini kerana Allahyarham suaminya hanya bekerja sebagai nelayan.

Katanya, dia pula tidak mengetahui arwah membuat caruman melalui Skim Perlindungan Keselamatan Sendiri sektor perikanan dengan Perkeso.

"Syukur, wang pencen ini sedikit sebanyak boleh digunakan bagi menampung keperluan termasuk membiayai pengajian anak bongsu di institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

 Tarmizi Mukhtar menyampaikan replika cek kepada Maimon Ismail. FOTO Asrol Awang
Tarmizi Mukhtar menyampaikan replika cek kepada Maimon Ismail. FOTO Asrol Awang

Maimon ditemui selepas majlis penyerahan faedah Perkeso dan Program Transformasi Usahawan Belia Pahang anjuran Hub Usahawan Belia Malaysia dan Perkeso Pahang di Wisma Perkeso Kuantan hari ini.

Penyerahan faedah disampaikan Pengarah Perkeso Pahang Tarmizi Mukhtar dan ia turut dihadiri Pengasas Hub Usahawan Digital dan Smart Belia Malaysia Pahang Nurliana

Muhammad.

Sementara itu, Tarmizi berkata, berdasarkan laporan, Allahyarham Safie mendapat jangkitan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kemunting ketika bekerja mengumpul hasil tangkapan di kompleks berkenaan.

"Oleh itu, penerima iaitu balu Allahyarham layak menerima faedah pengurusan mayat dan faedah pencen secara bulanan kerana Allahyarham mendapat jangkitan ketika sedang bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 1:14 PM