FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri tidak berhasrat mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana berikutan semua 11 daerah di negeri ini berada dalam zon merah Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, tiada rancangan untuk mengemukakan cadangan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, PKPD dibuat apabila suatu daerah atau kawasan mempunyai kes yang tinggi manakala kawasan lain dalam zon hijau.

"Tetapi di Kedah hampir semua mukim zon merah jadi kita hendak sekat bagaimana lagi. Kita akan adakan mesyuarat bersama MKN dan KKM dalam masa terdekat, buat masa ini kita lihat tiada keperluan untuk adakan sekatan.

"Lagi pun kita akan memasuki fasa endemik tidak lama lagi, malah banyak negara sudah iktiraf Covid-19 sebagai endemik dan kita akan hidup dengan virus itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan semua 11 daerah negeri ini berada dalam zon merah Covid-19 dengan hanya beberapa kawasan daripada 132 mukim berada dalam zon jingga dan kuning.

Kebanyakan kes positif yang berlaku adalah membabitkan sporadik dan bukan berkaitan kluster.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, biarpun kadar jangkitan kes baharu meningkat, majoriti kes positif berada pada Kategori Satu dan Dua sahaja.

Katanya, selain itu hanya sebilangan kecil kes sahaja didapati kritikal dan perlu dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Saya yakin individu yang positif dan diarahkan kuarantin di rumah mematuhi arahan KKM, mereka tidak akan keluar rumah sesuka hati," katanya.

Ditanya mengenai kadar pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 di negeri ini, Dr Mohd Hayati memberitahu hampir 60 peratus penduduk yang layak di negeri ini sudah menerima dos penggalak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 4:29 PM