Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar dari DAP, Terence Naidu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar dari DAP, Terence Naidu
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang kini menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AG) berhubung keputusan siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan yang lengkap sudah diserah pihaknya kepada Pejabat Pendakwaan Negeri pada 3 Februari lalu.

"Antara laporan yang dikemukakan termasuk laporan patologi.

"Pada masa ini kami belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada AG bagi tindakan pendakwaan atau sebaliknya," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa ADUN terbabit mengakui mengenai penahanannya dalam serbuan polis di sebuah restoran di Perai di sini, pada pertengahan Januari lalu.

Terence ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan awal air kencing mereka positif dadah.

Terence membuat laporan polis sejurus dibebaskan dan mendakwa dia dihidang dengan minuman aneh ketika hadir ke perjumpaan serta makan malam sempena Tahun Baharu Cina itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 2:19 PM