Mohd Amin Jalil


Seremban: Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memperuntukkan RM50.3 juta bagi menambah baik insfrastruktur dan kemudahan asas di 8,260 hektar kebun getah matang dan 829 kebun getah muda di seluruh negara, tahun ini.

Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Sharif, berkata peruntukan besar itu adalah antara sebahagian usaha Risda untuk memajukan lagi sosioekonomi penduduk kawasan luar bandar.

"Bagaimanapun keutamaan kepada kawasan yang memerlukan pembaikan prasarana terutama kawasan yang terkesan dengan banjir, baru-baru ini.

"Fokus utama kita adalah untuk memastikan operasi di kebun berjalan lancar dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti secara berterusan kepada pekebun.

"Di Negeri Sembilan sahaja ia membabitkan peruntukan sebanyak RM4.48 juta bagi projek pembangunan insfrastruktur di kawasan 1,575 hektar kebun getah matang dan 830 hektar kebun getah muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Bantuan Persekolahan Happy To School Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng di Homestay Kampung Rawa Lenggeng dekat sini, hari ini.

MOHD SALIM (tengah) bersama sebahagian murid sekolah keluarga asnaf dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Happy To School Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng di Homestay Kampung Rawa Lenggeng, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
MOHD SALIM (tengah) bersama sebahagian murid sekolah keluarga asnaf dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Happy To School Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng di Homestay Kampung Rawa Lenggeng, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil

Yang turut hadir, Pengarah RISDA Negeri Sembilan, Muhamad Rizal Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Kampung Rawa, Zol Amali Hussin.

Pada majlis itu, seramai 100 pelajar rendah dan menengah dari kalangan ahli keluarga asnaf menerima bantuan kelengkapan sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Salim berkata, Risda sedang memberi fokus kepada usaha meningkatkan pengeluaran lateks dalam kalangan pekebun kecil, bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, agensi itu bercadang membina 27 depoh pengumpulan lateks di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM1.35 juta.

"Pekebun kecil digalak untuk terbabit dalam pengeluaran lateks berbanding bergantung kepada getah sekerap kerana harga lateks lebih tinggi 30 peratus daripada harga sekerap.

"Kita juga menanam lateks seluas hampir 1,000 hektar di Grik, Perak yang mengeluarkan getah lateks bermutu tinggi.

"Kita perlu perbanyakkan lagi pengeluaran getah lateks ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada getah sintetik yang banyak dipengaruhi dalam soal harga sekali gus mengelak persaingan terhadap getah tempatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Salim berkata, RISDA juga menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi menjayakan projek aktiviti ekonomi tambahan (AET) dan pembangunan usahawan, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 2:52 PM