Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Pasangan suami isteri ditahan selepas dipercayai mencuri dua pembesar suara dan lima rokok elektronik (vape) di kedai aksesori di Bandar Melawati, di sini, tengah malam tadi.

Turut ditahan, seorang individu yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kedua-dua suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima laporan daripada pembantu kedai aksesori itu pada 4 petang 9 Februari lalu.

"Mangsa yang membuat pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki dan seorang wanita masuk ke dalam kedai.

"Ketiga-tiga suspek itu disyaki mencuri barang jualan di dalam dan luar kedai dengan membabitkan kerugian RM437," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

TULAR di media sosial tiga individu mencuri pembesar suara dan rokok elektronik di sebuah kedai aksesori di Bandar Melawati pada 9 Februari lalu. FOTO Ihsan pembaca
TULAR di media sosial tiga individu mencuri pembesar suara dan rokok elektronik di sebuah kedai aksesori di Bandar Melawati pada 9 Februari lalu. FOTO Ihsan pembaca

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan hasil risikan kes tular, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menyerbu sebuah premis di Puncak Alam pada 12.30 tengah malam tadi.

Menurutnya, polis menahan tiga suspek berusia 16 hingga 31 tahun dan merampas sebuah pembesar suara di dalam premis terbabit.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi merampas saki baki barang kes dan suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 20 saat memaparkan tiga individu mencuri pembesar suara di sebuah kedai di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 4:40 PM