Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Menyamar sebagai juruteknik komputer dan meminta tandatangan mangsa sambil berpura-pura sibuk sebelum melarikan wang.

Itu taktik digunakan seorang lelaki bagi memperdaya seorang jurujual sebuah kedai aksesori telefon di Puncak Alam, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam kejadian 7.15 malam, mangsa didatangi suspek berusia 40-an yang memperkenalkan diri sebagai juruteknik komputer dari ibu pejabat kedai terbabit.

Katanya, suspekk kemudian mengarahkan mangsa mencetak penyata akaun bagi menyemak hasil jualan dan mengira wang di kaunter yang berjumlah RM750.

POLIS giat mengesan seorang lelaki yang menyamar sebagai juruteknik komputer susulan melarikan wang RM 750 dari sebuah kedai aksesori telefon di Puncak Alam, kelmarin. FOTO ihsan POLIS
POLIS giat mengesan seorang lelaki yang menyamar sebagai juruteknik komputer susulan melarikan wang RM 750 dari sebuah kedai aksesori telefon di Puncak Alam, kelmarin. FOTO ihsan POLIS

"Sebaik selesai mengira, mangsa meletakkan wang berkenaan di tepi meja kaunter dan suspek kemudian memintanya supaya menandatangani beberapa resit.

"Dalam masa sama, suspek berpura-pura sibuk sehingga mangsa berasa seolah-olah dipukau," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki premis itu melalui laluan utama dan terus menemui mangsa di kaunter pembayaran.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa mengeluarkan wang daripada kaunter dan meletakkannya di tepi mesin itu.

"Suspek kemudian mengambil wang dan mengiranya di hadapan jurujual itu lalu memasukkannya ke dalam poket," katanya.

Menurutnya, pihaknya kini mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 1:42 PM