MOHAMAD Taufiq Ismail. FOTO Facebook
MOHAMAD Taufiq Ismail. FOTO Facebook
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Mohamad Taufiq Ismail menafikan peletakan dua jawatannya dalam PKR disebabkan tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mohamad Taufiq berkata, peletakan kedua-dua jawatan termasuk Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru tidak ada kena mengena dengan isu pencalonan parti itu yang diumumkan semalam.

"Tidak benar saya letak jawatan kerana kecewa tidak dicalonkan pada PRN Johor. Ia 100 peratus tidak benar.

"Sebenarnya ada isu yang perlu selesaikan dengan cabang sehingga saya mengambil keputusan meletakkan jawatan.

"Saya membuat keputusan letak jawatan selepas berfikir panjang dan keputusan ini adalah muktamad. Saya tidak akan tarik balik keputusan yang dibuat.

"Bagaimanapun, saya tidak keluar parti dan akan terus setia dengan PKR sebagai ahli biasa," katanya ketika dihubungi.

Mohamad Taufiq Ismail mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua AMK Johor dan Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru, malam tadi.

Kedua-dua surat peletakan jawatannya itu dimuat naik di dalam akaun Facebooknya.

Dalam pada itu, Mohamad Taufiq berkata, beliau sedang menunggu surat rasmi PKR berhubung peletakan jawatannya itu sebelum membuat kenyatan lanjut.

"Tunggulah sehari dua lagi. Saya akan beri kenyataan penuh berhubung perletakan jawatan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 11:36 AM