LOKASI tapak khemah Bazar Ramadan di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
LOKASI tapak khemah Bazar Ramadan di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Hanneeyzah Bariah Baharin


ISU kadar sewa tapak bazar Ramadan dekat stesen teksi Tanjung, Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu yang dikatakan terlalu tinggi dan membebankan peniaga sudah selesai, apabila kerajaan negeri menetapkan sewa RM2,000 untuk satu kanopi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pertemuan pihaknya dengan wakil kontraktor yang mendapat tender sewa tapak serta peniaga dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Terengganu pada Isnin lalu berjaya mencapai penyelesaian.

Beliau berkata, isu itu timbul apabila ada pihak salah faham berhubung kadar siling sewa tapak bazar Ramadan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada harga maksimum RM4,000 untuk setiap kanopi.

“Kadar siling ditetapkan itu bermakna kadar sewa tidak boleh lebih RM4,000. Namun ada pihak menyebarkan perkara itu sehingga tular dan menjadi kecoh, sedangkan kita sebenarnya belum menetapkan kadar sewa,” katanya ketika ditemui.

Dr Alias berkata, tahun lalu kadar sewa ditetapkan RM1,400 bagi setiap kanopi di bazar di situ, namun ia hanya untuk tempoh 15 hari, berbanding RM2,000 yang ditetapkan tahun ini untuk tempoh sebulan.

“Justeru harga sewa itu sudah dikira murah kerana ia mengambil kira tempoh 29 hari perniagaan berbanding 15 hari tahun sebelum ini.

“Kita juga perlu ingat, ia akan membabitkan pertambahan kos untuk bekalan elektrik dan air serta pembersihan kawasan oleh pekerja MBKT, justeru sewa RM2,000 sangat munasabah untuk tempoh sebulan,” katanya.

Beliau berkata, tapak bazar di stesen teksi itu akan diuruskan oleh dua kontraktor iaitu sebuah syarikat dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Terengganu dan ia dapat memuatkan sehingga 50 kanopi yang setiap satu bersaiz 20 kaki x 20 kaki.

“Setiap kanopi boleh memuatkan antara lapan hingga enam peniaga bergantung kepada jenis perniagaan dijalankan. Justeru setiap peniaga hanya perlu membayar sewa sekitar RM500 untuk berniaga selama sebulan sepanjang Ramadan,” katanya.

Sebelum ini, kadar harga sewa tapak bazar Ramadan di stesen teksi Tanjung itu tular di laman sosial kerana didakwa terlalu tinggi dan membebankan peniaga.

Foto Imran Makhzan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 2:19 PM