Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Seramai 57 individu membabitkan golongan miskin tegar dan miskin menerima rumah di bawah Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Hujung Keton atau dinamakan sebagai Taman Desa Tawakkal di sini, hari ini.

Taman Desa Tawakkal ini adalah projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kos keseluruhan projek ialah RM11 juta dan ia antaranya membabitkan pembinaan 57 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), bekalan air serta elektrik dan gelanggang futsal.

"Pembinaan Taman Desa Tawakkal ini bertujuan membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar. Selain itu, pembinaan taman itu bukan sahaja memajukan kawasan sekitar Pendang malah keselamatan penduduk lebih terjamin.

"Projek ini memberi manfaat kepada hampir 300 penduduk luar bandar yang tidak mampu memiliki rumah sendiri. Penempatan secara berkelompok dalam satu kawasan memudahkan penyaluran bantuan dan lain-lain kemudahan sosial," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Taman Desa Tawakkal, Hujung Keton.

DR Abd Latiff (empat kiri) beramah mesra dengan penerima rumah Taman Desa Tawakkal, PPK Hujong Keton, turut kelihatan, Timbalan Menteri Sumber Manusia,Datuk Awang Hashim (dua kiri) dan Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Desa Tawakkal, Kampung Hujung Keton,Padang Kerbau. FOTO Amran Hamid
DR Abd Latiff (empat kiri) beramah mesra dengan penerima rumah Taman Desa Tawakkal, PPK Hujong Keton, turut kelihatan, Timbalan Menteri Sumber Manusia,Datuk Awang Hashim (dua kiri) dan Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Desa Tawakkal, Kampung Hujung Keton,Padang Kerbau. FOTO Amran Hamid

Sementara itu, penerima, Muhammad Faris Mat, 48, berkata, sebelum ini dia menyewa di Tanjung Radin, Pendang sejak 16 tahun lalu.

"Saya menyewa pada kadar RM300 sebulan. Saya hanya bekerja kampung manakala isteri pula menjual kuih. Dengan pendapatan tidak seberapa ini, kami berusaha untuk membesarkan lapan anak selain memenuhi keperluan harian," katanya.

Menurut Muhammad Faris, dia bersyukur dan berterima kasih kepada KPLB serta Dr Abd Latiff atas bantuan berkenaan.

"Kini kami boleh menghuni rumah yang lebih selesa. Saya akan bekerja lebih kuat demi masa depan keluarga," katanya.

Noorsyam Abdullah, 47, juga bersyukur menjadi penerima rumah berkenaan.

"Saya sentiasa berdoa untuk mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa. Syukur kerana doa saya dimakbulkan Allah SWT.

"Kini, saya serta dua anak boleh tinggal di kediaman sendiri. Saya sudah tidak sabar untuk menghias kediaman ini," katanya yang bekerja sebagai kerani sebuah kilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 5:25 PM