Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Peniaga telur ayam di negeri ini sekali lagi berdepan masalah kekurangan bekalan telur ayam antara 30 hingga 50 peratus sejak dua minggu lalu.

Peniaga, Tan Lian How, 46, berkata, pembekal lazimnya menghantar 300 hingga 1,000 papan telur setiap hari, namun jumlah itu merosot sehingga 50 peratus selain dia perlu mengambil sendiri bekalan di Jawi dan Nibong Tebal dekat sini.

"Pembekal kata mereka juga hadapi masalah tidak cukup (telur) jadi lebih baik hantar ke kawasan berdekatan dahulu jadi dalam seminggu ada dua tiga kali kami perlu ambil sendiri bekalan guna lori sendiri.

"Semalam lebih teruk, jam 10 pagi telur sudah habis permintaan memang tinggi mungkin sebab raya (Deepavali) esok hari ini dalam 12 tengah hari kami sudah boleh kemas sepatutnya kami berniaga hingga 2 petang," katanya ketika ditemui di Kompleks Pasar Awam Bayan Baru dekat sini hari ini.

Tinjauan mendapati telur ayam dijual pada harga 45 sen sebiji untuk gred A, gred AA (56 sen), telur kampung liar (70 sen) telur kampung biasa (60 sen) manakala telur gred B serta C yang dijual pada harga kawalan masing-masing 43 sen dan 41 sen habis dijual di kebanyakan lokasi.

Menurut Tan, peniaga turut berasa sedikit terbeban apabila caj perkhidmatan pengendalian telur turut dinaikkan daripada 2 sen kepada 3 sen sebiji oleh pembekal bermula minggu ini.

"Tempat lain saya tidak tahu tetapi saya sudah kena (bayar) namun kami tiada pilihan kalau tak mahu bayar nanti langsung tak dapat telur," katanya.

Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Liam, 41, berkata, dia turut mengalami masalah kekurangan telur sebanyak 30 peratus dan telur di premisnya di Bayan Lepas hari ini hampir habis menjelang 12 tengah hari.

"Sepatutnya bapa mentua akan datang tolong jaga dan bantu kemas tapak niaga tengah hari sampai 3 petang tapi beberapa hari ini dia tak perlu datang kerana kami dapat berkemas awal," katanya.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 1:20 PM