GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kegiatan satu sindiket pencetakan dan penjualan sijil cuti sakit palsu yang dipercayai beroperasi sejak 2020 tumpas apabila empat individu termasuk dua wanita ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini..

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, kesemua individu berusia 22 hingga 35 tahun itu berkenaan ditahan menerusi serbuan di Seksyen 7, Seksyen 17 dan Taman Sri Muda (Seksyen 25) di sini, antara 10.30 malam kelmarin (Isnin) hingga 1.30 pagi semalam (Selasa).

Katanya, suspek berkenaan didapati bertindak sebagai ejen dan pembuat serta pencetak sijil cuti sakit berkenaan.

"Hasil serbuan polis merampas 62 sijil cuti sakit palsu yang sudah siap dicetak, mesin cetak, komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, kad mesin pengeluaran automatik bank, kertas bertulis jumlah pembayaran pelanggan dan sebungkus kertas A4.

"Sindiket ini didapati menjual sijil cuti sakit itu pada harga RM40 sekeping dan pembeli perlu memberikan butiran diri, tarikh untuk cuti sakit serta klinik mana yang diperlukan,

"Pembayaran perlu dibuat ke akaun sindiket dan runner atau ejen akan menghantar sijil cuti sakit berkenaan kepada pembeli," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak awal 2020 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama susulan Covid-19.

Katanya, hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau dan kini ditahan reman sehingga Jumaat bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"JSJK Selangor ingin menasihatkan orang ramai tidak terpedaya dengan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu untuk mengambil jalan mudah untuk mengambil cuti.

"Mana-mana pihak sama ada hospital kerajaan, swasta atau syarikat yang pernah menerima sijil cuti sakit palsu disarankan untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 7:26 AM