Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti secara komprehensif berkenaan memorandum tuntutan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) yang diserahkan di kementerian itu, hari ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan meneliti secara komprehensif perkara yang dibangkitkan dan akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat konsesi bagi memahami dengan lebih mendalam berkenaan isu yang dibangkitkan

Menurutnya, beliau akan memberi komitmen berkenaan perkara itu dan berusaha supaya kebajikan mereka terjaga sebagai salah satu petugas barisan hadapan yang banyak membantu mengurus pandemik Covid-19.

Katanya, jangan pandang ringan kepada perjuangan mereka selepas mengharungi lebih 500 kilometer untuk datang berjumpa beliau dan menyerahkan memorandum.

"Kehadiran mereka adalah bagi menyerahkan satu memorandum berkenaan pekerja sokongan di hospital kerajaan yang dikendalikan syarikat konsesi dan saya tidak mahu menghampakan perjuangan mereka, " katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil KPSPSHKSM di lobi KKM, hari ini.

Khairy pada sidang selepas menerima memorandum dari wakil tuntutan  Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM)  di kementerianya hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Khairy pada sidang selepas menerima memorandum dari wakil tuntutan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) di kementerianya hari ini. FOTO SAMADI AHMAD

Sebelum itu, Khairy mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil kesatuan diketuai Pengerusinya, Roziah Mohd Hashim pada 12.30 tengah hari dan dilihat keluar dari bangunan KKM setengah jam kemudian.

Memorandum diserahkan itu menyatakan tiga tuntutan iaitu menghapuskan sistem kontrak dan serap semula pekerja sokongan hospital sebagai kakitangan kerajaan, menghentikan pemerasan kesatuan dan pembayaran elaun Covid-19 kepada semua pekerja sokongan di hospital kerajaan.

Khairy berkata, beliau sempat mengadakan perbincangan dan mendengar pandangan dari wakil kesatuan berkenaan.

Katanya, walaupun mereka adalah pekerja di bawah syarikat konsesi yang menerima tugasan dari KKM kebajikan mereka adalah di bawah tanggungjawab kementerian.

Sementara itu, Roziah berterima kasih kepada Khairy kerana sudi menerima kunjungan dan meneliti memorandum yang diserahkan.

Menurutnya, memorandum itu bagi menyatakan masalah sistem pekerja kontrak yang membenarkan pihak majikan menindas pekerja serta mencabuli hak jaminan pekerjaan.

Katanya, pihaknya berharap KKM dapat mengambil tindakan bagi menjaga kebajikan pekerja pembersih di hospital kerajaan yang sebelum ini dipinggirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 10:07 PM