Gambar hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Gambar hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Nurul Hidayah Bahaudin


KESATUAN Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM) menggesa pihak berkuasa membatalkan dan menunda semua program Kempen Melawat Malaysia 2020.

Kesatuan itu mahu semua penganjur acara, termasuk Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia serta Tourism Malaysia mengambil tindakan itu bagi mengelak penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) di negara ini.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM), Alwi Shakir Abdullah berkata, penganjuran program atau acara pelancongan tidak akan membantu memulihkan industri pelancongan ketika ini memandangkan kekurangan permintaan disebabkan faktor ekonomi berikutan krisis Covid-19.

“Tidak dapat dinafikan krisis Covid-19 mengakibatkan kerugian sebanyak RM3 bilion kepada negara, namun peningkatan pesakit virus itu juga akan memberi beban kewangan kepada negara, terutama melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ketika ini, ramai majikan terkesan, terutama sektor penerbangan, perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan dan sebagainya.

“Ada majikan mula menawarkan cuti tanpa gaji sehingga tiga bulan kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alwi berkata, pihak berkepentingan wajar menjalankan kajian serta merangka program yang akan dilaksanakan selepas krisis Covid-19 berakhir.

“Pakej rangsangan ekonomi pada ketika ini perlu ditumpukan kepada kedua-dua pihak iaitu penawaran (pemain industri) dan permintaan (pengguna).

“Kami juga memohon supaya majikan menyediakan langkah keselamatan serta peralatan perlindungan diri, termasuk persekitaran kerja selamat sebagaimana digariskan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan melalui Akta 514 (Akta Keselamatan Kesihatan Pekerjaan 1994),” katanya.

Beliau turut mendoakan supaya situasi dialami ketika ini kembali pulih dan meminta rakyat Malaysia mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 12:08 AM