KEADAAN kereta yang berbabit dengan kemalangan. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN kereta yang berbabit dengan kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Mohd Rafi Mamat


Temerloh: Bayi perempuan berusia lima bulan maut selepas kereta Proton Saga dinaiki bersama empat ahli keluarganya terbabas di Kilometer 33 Jalan Jerantut-Temerloh, di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 8 malam, mangsa Miszara Amira Jaffery dipercayai dipangku ibunya Noor Azlina Mohd Shariff, 42, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta dipandu bapanya Jaffery Abdullah, 54.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama ibu bapa serta dua kakaknya berusia enam dan lima tahun dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Temerloh.

"Apabila sampai di tempat kejadian berhampiran jambatan Kuala Krau, kereta dipandu bapa mangsa hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan tiga lagi penumpang mengalami kecederaan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Katanya, pemandu kereta patah kaki kiri dan cedera di muka serta dada manakala penumpang hadapan cedera di dalam perut dan dua mereka mengalami kecederaan di dahi dan retak kaki kanan.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 1:14 PM