GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kemasukan pesakit Covid-19 tahap kritikal ke hospital di Pulau Pinang terkawal walaupun negeri itu mencatatkan tiga angka kes setiap hari.

Setakat semalam, terdapat hanya tiga pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata, jumlah jangkitan Covid-19 meningkat di negeri itu sejak kebelakangan ini, namun ia membabitkan tahap satu dan dua sahaja kerana populasi di Pulau Pinang sudah menerima vaksin.

"Individu yang dilapor kritikal itu terdiri daripada golongan yang tidak menerima vaksin.

"Bagaimanapun, setakat ini hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pulau Pinang berada dalam keadaan terkawal ," katanya kepada media, hari ini.

Norlela ditemui selepas melakukan tinjauan hari pertama program pemberian vaksin bagi kanak-kanak (PICK Kids) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Dalam perkembangan lain, Norlela berkata, PKRC Jawi masih beroperasi namun tidak boleh menampung jumlah pesakit yang ramai.

"Jika diikutkan kapasiti 1,000 pesakit boleh ditempatkan di situ, namun atas masalah bekalan kuasa elektrik menyebabkan jumlah pesakit terpaksa dikurangkan.

"Jika kes kembali meningkat, kita mempunyai dua lagi PKRC sokongan iaitu Kompleks Masyarakat Penyayang dan Pusat Latihan Zakat (Pulaza) bagi menampung jumlah pesakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 4:33 PM