NORLELA ARIFFIN
NORLELA ARIFFIN
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kadar vaksinasi remaja di Pulau Pinang yang belajar di sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, ia adalah usaha pelbagai pihak termasuk media yang meuar-uarkan perkara berkenaan sehingga memperoleh keputusan positif.

"Mengikut laporan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP), terdapat 3,393 daripada 5,654 pelajar yang berusia 12 hingga 18 tahun belajar di sekolah agama, tahfiz dan pondok.

"Daripada jumlah itu, seramai 2,604 pelajar iaitu 76.7 peratus sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan 789 masih belum divaksinasi.

"Ia menunjukkan peningkatan ketara dan amat positif berbanding sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada pertengahan bulan lalu, Norlela mendedahkan hanya 27.31 peratus iaitu 1,534 pelajar sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam mendapatkan suntikan vaksin ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) remaja berlangsung.

Pada ketika itu, mengikut data pelajar tahfiz mencatatkan rekod terendah apabila hanya 7.5 peratus iaitu 202 pelajar daripada 2,659 pelajar yang menerima vaksin Covid-19.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) seramai 1,095 daripada 1,834 pelajar menerima vaksin manakala sekolah pondok pula seramai 237 daripada 1,161 pelajar sudah divaksinasi.

Bagaimanapun, Norlela berkata, kadar vaksinasi itu sudah meningkat selepas pelbagai usaha dilakukan.

"Setakat hari ini, pelajar tahfiz yang sebelum itu merekodkan kadar terendah kini meningkat kepada 63.7 peratus dengan 647 daripada 1,015 pelajar sudah menerima vaksin.

"Bagi SMAR pula, seramai 1,156 daripada 1,710 pelajar sudah divaksinasi manakala sekolah pondok seramai 801 daripada 1,061 sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan peratusan kedua-duanya meningkat lebih 60 ke 70 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:12 PM