GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

George Town: Kerajaan Pulau Pinang melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bercadang menambah fasiliti suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 berikutan penerimaan dos penggalak dalam kalangan rakyat di negeri itu perlu ditingkatkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata dalam usaha meningkatkan kadar suntikan sedia ada, JKNPP kini dalam proses mengenal pasti beberapa lagi Organisasi Penjagaan Kesihatan (HCO) membabitkan dewan-dewan yang bersesuaian.

"Umumnya, kesedaran mengenai penerimaan dos penggalak perlu ditingkatkan memandangkan hanya 60 hingga 70 peratus hadir mendapatkan suntikan daripada keseluruhan jumlah janji temu yang diberikan menerusi aplikasi MySejahtera.

"Hingga semalam sebanyak 73 fasiliti swasta (klinik dan hospital) serta sebuah HCO dengan kapasiti melebihi 1,000 suntikan sehari telah beroperasi sebagai pusat pemberian suntikan dos penggalak di negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Meskipun begitu, Chow berkata sistem kesihatan negeri masih terkawal dan sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi mendepani sebarang bentuk risiko penularan Covid-19.

"Dari segi kemudahan fasiliti perubatan pula, hingga semalam, jumlah penggunaan katil akut untuk pesakit Covid-19 adalah sebanyak 37 peratus di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Kepala Batas sebanyak 34 peratus.

"Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 pula adalah sebanyak 53 peratus dan semua kelengkapan sentiasa berada pada tahap siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Chow berkata bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), jumlah penggunaan katil di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) di Jawi, dekat sini adalah sebanyak 17 peratus manakala PKRC Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini, diletakkan pada keadaan bersiap sedia dan akan diaktifkan apabila diperlukan.

Pada 18 Oktober lalu, Pulau Pinang memulakan pemberian suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada petugas barisan hadapan secara berperingkat diikuti golongan warga emas dan komorbid.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 3:54 PM