Foto hiasan
Foto hiasan
Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan 14 kematian baharu akibat Covid-19 semalam, dengan sembilan daripada kes kematian itu berlaku di luar hospital (BID).

Portal COVIDNOW Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan secara keseluruhan, kes kematian harian akibat pandemik itu masih menunjukkan penurunan di negara ini, namun empat negeri mencatatkan peningkatan dalam tempoh 14 hari lalu khususnya Kelantan.

Kelantan merekodkan peningkatan 167 peratus dengan sembilan kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 14 hari, disusuli Johor (50 peratus), Pahang (33 peratus) dan Perak (25 peratus).

Selain itu, portal COVIDNOW menunjukkan 11 negeri dan wilayah merekodkan pola peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dalam tempoh tujuh hari lalu.

Putrajaya mencatat peningkatan 220 peratus dengan 16 pesakit baharu di hospital dalam tempoh berkenaan, disusuli Melaka (67 peratus), Pulau Pinang (62 peratus), Terengganu (56 peratus).

Selain itu, Perak mencatatkan 48 peratus, Sabah (44 peratus), Perlis (38 peratus), Pahang (23 peratus), Kedah (14 peratus), Sarawak (6 peratus) dan Selangor (5 peratus).

Peningkatan kemasukan pesakit ke hospital itu selaras dengan lonjakan semula kes Covid-19 ketika ini dipercayai akibat varian Omicron dengan 14 daripada 16 negeri mencatat pertambahan kes baharu dalam tempoh tujuh hari lalu.

Bagaimanapun, peningkatan kemasukan ke hospital dan jumlah kes itu dilihat belum membebankan sistem kesihatan awam, berikutan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) serta pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, masih mencatatkan penurunan.

Setakat semalam, kadar penggunaan ICU bagi kes Covid-19 di hospital kerajaan seluruh negara adalah pada kadar 52 peratus, dan kadar pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 33 peratus.

Ia bererti kebanyakan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital ketika ini adalah bergejala ringan dan sederhana serta bukan kes serius dalam kategori empat dan lima, kemungkinan disumbangkan oleh kadar vaksinasi yang tinggi di Malaysia.

Setakat semalam, 97.9 peratus atau lebih 22.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di Malaysia sudah lengkap divaksin, dengan 52.6 peratus atau lebih 12.3 juta penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak.

Selain itu, 88.7 peratus atau lebih 2.79 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula sudah lengkap divaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 10:36 AM