FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di lima negeri mencatat peningkatan dalam tempoh tujuh hari lalu, dengan ibu negara merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 52 peratus.

Portal COVIDNOW oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan purata jumlah pesakit dijangkiti wabak itu yang dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur seramai 44 individu dalam tempoh tujuh hari.

Secara keseluruhan, 472 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur dalam tempoh 11 hari, iaitu sejak trend peningkatan bermula pada 6 Januari lalu hingga semalam.

Bagaimanapun, peningkatan itu dilihat masih terkawal berikutan kadar penggunaan katil hospital di ibu negara berada pada kadar 46 peratus, dengan penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 adalah sekitar 60 peratus.

Selain itu, Kuala Lumpur turut merekodkan peningkatan kes Covid-19 sebanyak 16 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, dengan sejumlah 1,962 kes baharu dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

Empat lagi negeri turut mencatat peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dalam tempoh tujuh hari lalu, iaitu Perak (15 peratus), Perlis (14 peratus), Sarawak (12 peratus) dan Melaka (lapan peratus).

Kapasiti penggunaan katil hospital di Melaka agak membimbangkan dengan kadar 84 peratus, manakala Perak mencatatkan kapasiti 64.7 peratus, selain Perlis (62.4 peratus) dan Sarawak (58.4 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 1:40 PM